Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Gunung Keriang
Sejarah Gunung Keriang, terdapat mitos menyatakan bahawa asal usul Gunung Keriang ini adalah sebuah kapal yang disumpah oleh sang gelembai menjadi batu, berpunca dari rasa tidak puas hatinya apabila hajat untuk mengahwini puteri yang berada di dalam kapal tersebut tidak diterima. Di bahagian dalam gua ini pernah mempunyai peralatan dapur seperti pinggan mangkuk. Ketika zaman dahulu kebanyakkan penduduk setempat sering meminjam pinggan untuk kegunaan semasa kenduri. Kehilangan dan kerosakan pinggan mangkuk yang tidak diganti oleh peminjam menyebabkan lenyaplah semua pinggan mangkuk tersebut. Sekarang hanya yang tinggal adalah sebuah mitos berkenaan keistemewaan gunung keriang. Gunung Keriang juga terkenal dengan hasil batu bukit iaitu batu Kristal. Di pekarangan kaki gunung terdapat gerai - gerai yang menjual hasil mineral tersebut. Batu-batu ini sesuai untuk dijadikan perhiasan, cenderamata atau alat perhiasan diri seperti gelang tangan. Terdapat beberapa jenis batu yang dijual disini iaitu batu kristal (bunga), bunga batu dan batu air. Tidak jauh dari gunung keriang terdapat banyak lagi tempat menarik untuk dikunjungi seperti muzium padi, pusat renang akuatik, perkampungan tradisional masyarakat petani dan pusat sains negeri kedah.
Muzium Padi
Muzium Padi merupakan muzium seumpamanya yang pertama dibina Malaysia, dan muzium keempat dibuka di dunia selepas negara Jepun, Jerman dan Filipina.
Seni bina unik Muzium Padi mewakili tangkai beras yang dituai. Motif beras diulang menerusi ukiran bangunan, pemegang tangga, pintu pagar muzium dan pagar. Muzium ini mempamerkan proses penanaman padi di Malaysia dan pelbagai peralatan yang telah digunakan selama ini. Sejarah penanaman padi di Malaysia dapat disaksikan melalui lukisan mural yang dihasilkan oleh 60 orang pelukis dari Korea Utara. Mengangkat martabat sejarah, budaya dan kepentingan penanaman padi di Kedah, muzium ini dibina bagi memperingati para pesawah yang bekerja keras membanting tulang bagi memastikan bekalan beras mencukupi di negara ini.
Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara
Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU) adalah cawangan pertama Pusat Sains Negara. Terletak di alamat Gunung Keriang, Alor Setar, PSNCWU bertanggungjawab untuk memenuhi dan merangkumi negeri-negeri di Wilayah Utara iaitu Kedah, Perlis, Perak dan P.Pinang. Terokai dan alami sendiri ilmu sains yang menyeronokkan bersama bahan pameran interaktif di Pusat Sains Negara ini. Matlamat pusat ini adalah bagi mencetus dan menyemai minat rakyat Malaysia ke arah pembelajaran sains, teknologi dan inovasi sepanjang hayat.
Makanan
Makanan popular disekitar Gunung Keriang adalah seperti goreng Pisang Cheese, Bihun Sup Gunung, Murtabak Karan, Roti Doll Mee Sham dan Kiah perkasam yang diusahakan oleh penduduk tempatan sendiri.